photo astagfrallah7-1.gif

Monday, March 12, 2012

PENGUASAAN BAHASA ARAB DAN BAHASA MANDARIN KURANG MEMUASKAN


Guru tidak terlatih dan tidak tersenarai antara lima subjek dinilai peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikesan antara punca penguasaan murid bagi dua subjek elektif iaitu bahasa Arab dan Mandarin berada pada tahap kurang memuaskan.

Turut menyumbang kepada kekangan penguasaan bahasa antarabangsa itu ialah kebanyakan murid hanya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas sedangkan kegiatan itu perlu dijalankan di makmal bahasa.

Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Dr Mohd Nor Mohd Taib, berkata pada keseluruhannya pencapaian murid mengikuti subjek itu hanya menguasai perkataan asas seperti nama, khabar, asal dan arah sesuatu tempat.

Katanya, pada dasarnya P&P dua mata pelajaran itu bergantung kepada kemampuan sekolah melaksanakannya dengan mengambil kira kepakaran guru.

“Bagi sekolah yang tiada kepakaran dan gagal menyediakan kemudahan makmal, sukar melaksanakan proses P&P dengan berkesan.

“Subjek elektif ini sebenarnya dikhususkan kepada murid bukan penutur bahasa terbabit dan mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
Dr Mohd Nor berkata, berdasarkan statistik seramai 1.5 juta murid mengikuti pembelajaran bahasa Arab di 4,776 sekolah di seluruh negara sehingga 2010 manakala bahasa Mandarin seramai 34,449 di 461 sekolah sehingga awal tahun lalu.

Mengenai murid Cina dan India bukan Islam yang mengikuti pembelajaran bahasa Arab, beliau berkata jumlahnya terlalu rendah iaitu sekitar seorang hingga lima orang di seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, ramai murid Melayu dan India mengikuti subjek bahasa Mandarin berikutan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menguasai bahasa berkenaan.

Monday, February 20, 2012

ANALISA EVIDENS DSP TAHUN 2

Analisa Evidens dalam Dokumen Standard Prestasi Bahasa Arab Tahun 2 :

Kemahiran Mendengar dan Bertutur (DL) : 14

Kemahiran Membaca (DB) : 14

Kemahiran Menulis (DT): 9

Jumlah keseluruhan Evidens : 37 

Instrumens yang dibina mesti boleh ditaksir, boleh ditadbir, boleh diukur.

Saturday, February 18, 2012

ANALISA EVIDENS DSP TAHUN 1

Analisa Evidens Dokumen Standard Prestasi Tahun Satu Bahasa Arab 

Kemahiran Lisan (Mendengar + Bertutur) = 15 Evidens

Kemahiran Membaca = 13 evidens

Kemahiran Menulis = 10 evidens.

Jumlah Keseluruhan Evidens adalah 38. 


Pemilihan dan pembinaan instrumen(soalan/bahan) adalah fleksible. Guru harus kreatif dalam memilih tugasan dan boleh menggunakan pelbagai jenis instrumen pentaksiran untuk menguji penguasaan / pencapaian murid bagi sesuatu domain. Guru boleh menggunakan buku teks, buku latihan aktiviti, buku tulis, modul transisi, soalan PKSR, persembahan, lakonan, nasyid, check list, pemerhatian, soal-jawab, kad ucapan dan sebagainya. Yang penting evidens itu bercirikan autentik,sah,kecukupan,semasa dan tekal.

Sunday, January 29, 2012

LAPORAN PELAKSANAAN TRANSISI BAHASA ARAB

Perhatian kepada semua Guru Bahasa Arab Tahun Satu 2012 anda dikehendaki menghantar Laporan Pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun Satu 2012. Borang Laporan boleh dimuat turun dari laman web Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Sila lengkapkan dan hantar segera ke alamat email unitarab_bpk@yahoo.com sebelum atau pada 17 Februari 2012.

Boleh muat turun Borang Laporan Pelaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun Satu 2012 disini :

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_docman&task=cat_view&gid=198&Itemid=83                                                                

Friday, August 12, 2011

APAKAH ITU PBS DAN CARA PENTAKSIRANNYA?

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan pentaksiran yang dirancang, ditadbir, diskor dan dilapor oleh pihak sekolah. Lembaga Peperiksaan Malaysia menyediakan instrumen merangkumi piawai, kriteria, panduan dan peraturan untuk membolehkan calon mengukur tahap penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai berbanding kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. PBS ini juga membolehkan calon memperbaiki pencapaian diri (assesment for learning) di sekolah.

PBS boleh dirancang di peringkat sekolah dengan merujuk kepada perancangan tentang murid yang akan ditaksir, bila pentaksiran dibuat, kekerapan pentaksiran, siapa yang terlibat dalam pentaksiran, pemilihan atau pembinaan instrumen pentaksiran, penskoran, pengredan dan pelaporan dibuat oleh pihak sekolah dengan berpandukan kepada Panduan PBS bagi mata pelajaran yang berkenaan.

Konsep PBS boleh diringkaskan seperti berikut:

1. DITADBIR DI PERINGKAT SEKOLAH

Merujuk kepada usaha mengumpul maklumat pentaksiran dan dilaksanakan oleh guru pentaksir yang terlibat dalam pembelajaran murid dan pengurusan evidens.

2. DISKOR DI PERINGKAT SEKOLAH

Merujuk kepada proses pemberian skor kepada perkara ditaksir berdasarkan skema penskoran.

3. DILAPORKAN

Merujuk kepada perumusan skor oleh guru pentaksir bagi mendapatkan tahap penguasaan pelajar. Perumusan skor akan dibuat berdasarkan prinsip rumusan yang telah ditetapkan oleh peraturan penggredan yang telah dibina.

4. DIMODERASIKAN

Merujuk kepada usaha memastikan tiap-tiap murid ditaksir berdasarkan perkara yang sama. Mekanisme penyelarasan dan pemantauan dilaksana untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran bagi menjamin kualiti.

5. KESAHAN

Merujuk kepada sejauh mana skor pentaksiran itu dapat menggambarkan tentang perkara yang ditaksir dan perkara yang ditaksir itu relevan. Ini dapat ditentukan dengan menetapkan perkara yang ditaksir adalah terangkum dalam Dokumen Standard.

6. KEBOLEHPERCAYAAN

Merujuk sejauh mana skor pentaksiran itu tepat dan tekal. Kesahan dan kebolehpercayaan skor pentaksiran ini dipastikan melalui pelaksanaan mekanisme penyelarasan dan pemantauan.

7. PELAPORAN POSITIF

Skor yang dilaporkan menunjukkan tahap penguasaan murid dan ini boleh diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.


DASAR PELAKSANAAN PBS 

a). Pelaksanaan ditadbir mengikut kuasa yang diberikan kepada Pengarah Peperiksaan di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Seksyen 67, 68 dan 69.

b). Sekolah hendaklah memastikan infraskruktur dan kelengkapan ICT sebelum menawarkan mata pelajaran yang ada komponen PBS.

c). Sekolah memohon kelulusan daripada Pengarah Pelajaran Negeri 2 tahun sebelum.

d). Sekolah bertanggungjawab memastikan skor diberikan kepada calon adalah sahih berdasarkan evidens yang autentik.

e). Sekolah bertanggungjawab ke atas keselamatan evidens calon termasuk evidens dan fail calon yang berpindah.

f). Sekolah bertanggungjawab ke atas keselamatan skor calon termasuk penghantaran skor ke Lembaga Peperiksaan Malaysia.

g). Semua calon yang mendaftar mata pelajaran yang ada komponen PBS wajib melaksanakan PBS termasuk calon yang mengulang.

h). Murid yang tidak dilaksanakan PBS akan dianggap tidak hadir. Sekolah boleh memohon pengecualian kepada Pengarah Pelajaran Negeri dengan mengemukakan dokumen sokongan.

i). Calon yang berpindah pusat perlu memilih sekolah yang menawarkan mata pelajaran yang diambil. Sekolah asal calon bertanggungjawab menghantar semua bahan dan dokumen pentaksiran ke sekolah baru.

Kesimpulannya, dalam Sistem PBS ini, sekolah akan diberi kuasa yang maksimum dalam menentukan gred pentaksiran calon. Oleh itu, pentadbir sekolah dan guru perlulah memainkan peranan yang sangat penting untuk menjayakan program ini demi kecemerlangan pendidikan negara. Kerana apa yang boleh kita lihat, Sistem PBS ini akan memberi kesan kepada kehidupan generasi yang akan datang. Akhir kata, berjaya atau gagal sistem ini bergantung kepada integriti, sikap dan komitmen pelaksana.