photo astagfrallah7-1.gif

Thursday, February 20, 2014

PBS bentuk baru akan ringankan tugas guru


Sistem Aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bentuk baru selepas melalui proses penambahbaikan akan meringankan beban dan tugas guru di sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. Katanya, sistem itu sedang melalui proses kajian dan penambahbaikan yang dijangka selesai antara dua hingga tiga minggu lagi sebelum dapat dilaksanakan semula. 

"Merujuk kepada respons yang kita terima, banyak yang menyatakan bahawa ia membebankan tugas guru selain ada isu-isu tentang teknologi maklumat (ICT) (dari segi) perhubungan dan capaian. "Semua perkara ini sedang dilihat secara menyeluruh dan kajian yang dilakukan mengambil kira pendapat dan pandangan semua pihak," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan wacana pada majlis Siri Wacana Fikrah Ummah: Ulul Albab dalam Pembangunan Pendidikan Negara, di sini, hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai kajian PBS selepas pelaksanaannya di sekolah ditangguhkan bagi kajian semula seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. 

Sistem itu yang merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam. 

PBS: Kalau tangguh, kenapa taklimat diteruskan?


Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia yang tetap meneruskan taklimat berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), sedangkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penangguhan.


Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari menjelaskan tindakan KPM itu merupakan satu pembaziran kerana PBS sememangnya ada percanggahan berhubung cara pelaksanaannya. "Saya sekali lagi minta Timbalan Perdana Menteri (TPM) memansuhkan PBS ini serta merta kerana Malaysia memang telah diperakui tidak mampu melaksanakannya mengikut teori sebenar PBS itu sendiri.



"Apa yang dibuat oleh KPM adalah menutup segala kelemahan PBS yang telah saya ajukan. Antaranya pengurangan eviden, pemampatan diskriptor dan mewujudkan peperiksaan berpusat bagi beberapa subjek sahaja. "Semua ini hanya menutup kelemahan yang telah berlaku pada tahun 2012 dan 2013 semata-mata," 



Tambahnya, usaha ini bukan menambahbaik PBS tetapi menambahkan lagi kecelaruan tentang pelaksanaan PBS. Malah dalam tempoh tiga tahun, PBS berubah-ubah sesuka hati. Mengulas migrasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bersama Sistem Pengurusan Sekolah (SPS), beliau melahirkan kebimbangan kerana SPS sudah maklum gagal dan lemah.



"Baru-baru ini, semua guru terpaksa memasukkan data murid ke dalam SPS dan diberi tarikh akhir akan tetapi laman web berkenaan gagal berfungsi dengan baik," sambung beliau. "Adakah SPPBS yang dimigrasi dalam SPS juga akan hadapi masalah yang sama apabila dibuka pada April ini," soal beliau.



Jika berlaku katanya, ianya sudah terlambat untuk semua pihak dan sekaligus menambah bebanan kepada guru yang terpaksa menyiapkan kerja yang telah tertangguh sejak September 2013 sehingga April 2014.

Tuesday, February 11, 2014

Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguh hingga April


Pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dikaji semula selepas selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya ekoran pelbagai masalah dalam urusan merekodkan butiran dalam pangkalan data pengkomputeran sistem berkenaan.
    
"Buat masa ini, sistem aplikasi PBS itu ditangguh sehingga April depan, namun, guru masih perlu menjalankan kerja-kerja merekodkan butiran dan pelbagai perkara yang berkaitan PBS secara manual tanpa menggunakan komputer," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Sekolah Menengah Presint 8(1), Putrajaya hari ini.
    
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya, Roaini Jaafar.  

Dalam pertemuan sejam itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata mereka membincangkan mengenai pelbagai masalah yang dihadapi guru berhubung sistem aplikasi komputer PBS berkenaan.
    
Muhyiddin berkata kementerian akan menjadikan Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya sebagai satu kajian kes mengenai permasalahan sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS.
    
Beliau juga berkata kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diguna pakai di sekolah-sekolah di seluruh negara sekarang akan turut dikaji semula berikutan pelbagai masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pengkomputeran aplikasi berkenaan, katanya.

Muhyiddin berkata kementerian akan membuat keputusan mengenai dua perkara berkenaan iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian dalam masa terdekat.

PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. Bagaimanapun, sejak tahun lepas, golongan guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

Thursday, November 21, 2013

NUTP desak PBS dimansuhkan

Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (KPPK) atau NUTP menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) memansuhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana disifatkan membebankan guru.

Menurut presidennya, Hashim Adnan yang dipetik dari Sinar Harian, 'guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.'

Katanya "Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," 

Dalam hal berkaitan, wujud beberapa desakan secara senyap oleh guru-guru menerusi laman sosial Facebook. Rata-rata guru merungut tentang perlaksanaan PBS terutamanya SPPBS yang sangat perlahan dan membebankan guru.

Tuesday, November 19, 2013

PBS BERMASALAH KEPADA GURU

Kementerian Pendidikan mengakui Program Petaksiaran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun 2011 menimbulkan masalah kepada para guru di negara ini. Namun, menurut Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan masalah yang timbul hanyan kerana capaian internet yang lembab menyebabkan ia menjadi bebanan kepada guru. "Capaian internet memang menjadi masalah, kementerian masih berusaha untuk menaik taraf internet menjadi lebih pantas dan laju bagi melancarkan PBS ini," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi Kementerian Pendidikan.



Malah katanya, jika capaian internet dapat diatasi beliau percaya masalah dalam sistem PBS ini tidak akan timbul. Tambahnya, sistem PBS ini sudah diguna pakai di beberapa buah negara iaitu United Kingdom, Australia, Kanada dan Singapura. "Di negara kita ia baru satu permulaan, mungkin ada masalah dari segi capaian internet," katanya.



Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen daripada BN dan Pakatan Rakyat meminta kerajaan menilai semua program PBS ekoran mendapat rungutan daripada guru-guru. Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memperkenalkan program PBS tanpa menilai kelemahan sistem itu dahulu.



Malah beliau turut meminta kerajaan menyatakan model negara mana yang digunakan oleh Malaysia untuk melaksanakan sistem itu. "Idea siapa yang kita ambil untuk laksanakan PBS ini negara mana menjadi contoh," soal beliau. Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Idris Jauzi turut bangkit mempertikaikan sistem PBS yang diperkenalkan ini telah mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar-pelajar.


Begitu juga, pandangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali yang menegur kerajaan kerana tidak menyediakan prasarana yang sistematik sebelum melaksanakan PBS ini. "Banyak keluhan yang kita terima daripada guru-guru. Keluhan yang diterima terlalu berat. "Sepatutnya kerajaan menyediakan prasarana yang baik dahulu sebelum ianya dilaksanakan. Ini kerana guru yang berada di bandar pun tidak berjaya capai internet apatah lagi yang berada di luar bandar," katanya.


PBS merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan (berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.

Friday, October 18, 2013

Penggunaan Internet Explorer dalam SPPBS



Saya ingin membuat aduan berkenaan dengan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang di jalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berikut adalah aduan saya:

1. Sistem SPPBS memaksa guru-guru menggunakan browser Internet Explorer versi 7-9 yang tidak lagi digunakan di kebanyakkan komputer zaman sekarang. Ia mengandungi banyak 'holes' dan masalah security pada browser yang berbahaya & vulnerable kepada pengguna sebab boleh di exploit untuk penyebaran virus dan malware ketika user online. Takkan beratus2 pegawai IT kat KPM tak boleh kenalpasti perkara basic seperti ini?

2. Microsoft sendiri tidak menggalakkan penggunaan browser tersebut sekarang. Bagaimana KPM boleh membuat sistem yang menggunakan teknologi lama dan tak compatible kepada hampir semua browser utama (yang lebih selamat) di seluruh dunia? Sistem tersebut TIDAK BOLEH digunakan di Chrome, Mozilla dan Safari yang mewakili hampir 80% pengguna komputer di seluruh dunia.

3. Kenapa semasa proses development sistem TIDAK mengambil kira perkara ini yang menyusahkan ramai user sistem tersebut? Adakah penggunaan Microsoft Server yang mahal kos tersebut berbaloi dengan kos sistem tersebut yang jauh lebih murah menggunakan open sources seperti Linux, Redhat dsb. Berapa banyak pembaziran oleh KPM membangunkan sistem yang berpuluh juta ini.

4. Ia juga menyebabkan beribu-ribu pengguna Mac (Apple) langsung tidak boleh menggunakan sistem ini kerana ia hanya boleh menggunakan Internet Explorer.

5. Selain itu, disebabkan bandwidth laman KPM yang terhad, sistem SPPBS yang dilaksanakan oleh KPM tersangat perlahan untuk di access oleh beratus ribu guru di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sama. Ramai guru terpaksa bangun pukul 2-3 pagi semata-mata nak mengisi markah murid yang langsung tidak dapat di masuki pada sebelah siang. Ditambah dengan tarikh tutup yang ditetapkan oleh KPM kepada beratus ribu guru.

Saranan saya :

1. Penambahbaikan sistem dalam stage akan datang yang membolehkan sistem di access oleh semua browser (compatibility). Semua orang yang develop sistem benci dan mengelakkan menggunakan Internet Explorer (versi 10 dan ke bawah) yang developer tahu kelemahannya yang ketara. Tetapi kerajaan menggunakan juga sistem ini. Semua orang gelakkan sistem ketinggalan zaman yang masih menggunakan Internet Explorer pada tahun 2013.

2. Bandwidth server untuk access ke dalam sistem perlu di tambah. Fikirkan berpuluh ribu guru seluruh Malaysia access pada masa yang sama terpaksa membuang masa terlalu lama memasukkan data, tidur lewat malam, bangun awal pagi semata-mata kelemahan sistem ini. Kemudian mengajar pada waktu siang pula. Pernah orang KPM mengambil kira perkara ini?

Harap dapat membuat penambahbaikan secepat mungkin untuk kebaikan semua. Idea KPM dalam SPPBS ini amat dipuji dan sepatutnya perkara begini tidak berlaku sebab skala penggunakan sistem yang meliputi beratus ribu pengguna.

Ia hanya menyebabkan matlamat utama penggunaan sistem ini sukar di capai dan ia hanya menyusahkan guru-guru yang semakin terbeban. Bukan terbeban memasukkan data tetapi terbeban menunggu sistem loading dan tak compatible yang memakan masa terlalu lama untuk di access.

Sumber: http://www.beritaterkini.my/

Tuesday, February 5, 2013

KAJI SELIDIK MODUL TRANSISI BAHASA ARAB KSSR TAHUN 1

Kepada semua guru bahasa Arab tahun 1 KSSR sila jawab Soal Selidik Laporan Perlaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab KSSR Tahun 1 2013 di laman web bpk : www.moe.gov.my/bpk

Antara Soal Selidik:-

1. Adakah sekolah melaksanakan modul elektif Bahasa Arab KSSR?

2. Pentadbir sekolah telah maklum berkenaan perlaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun 1

3. Ketua panatia bahasa Arab dan guru bahasa Arab telah maklum perlaksanaan Modul Transisi Bahasa Arab Tahun 1.

4. Guru telah menghadiri Kursus Pendedahan Bahasa Arab KSSR.

5. Ketua panatia bahasa Arab dan guru bahasa Arab telah mendapat Modul Transisi Bahasa Arab Tahun 1 yang terkini.

6. Ketua panatia bahasa Arab dan guru bahasa Arab telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa / panatia sebelum perlaksanaan minggu transisi.

7. Ketua Panatia bahasa Arab dan guru bahasa Arab telah mengagihkan tugas kepada Jawatankuasa Transisi Sekolah.

8. Ketua Panatia bahasa Arab dan guru bahasa Arab telah menyediakan bilangan modul yang mencukupi mengikut bilangan murid tahun 1.