photo astagfrallah7-1.gif

Thursday, November 21, 2013

NUTP desak PBS dimansuhkan

Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (KPPK) atau NUTP menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) memansuhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana disifatkan membebankan guru.

Menurut presidennya, Hashim Adnan yang dipetik dari Sinar Harian, 'guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.'

Katanya "Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara," 

Dalam hal berkaitan, wujud beberapa desakan secara senyap oleh guru-guru menerusi laman sosial Facebook. Rata-rata guru merungut tentang perlaksanaan PBS terutamanya SPPBS yang sangat perlahan dan membebankan guru.

Tuesday, November 19, 2013

PBS BERMASALAH KEPADA GURU

Kementerian Pendidikan mengakui Program Petaksiaran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan pada tahun 2011 menimbulkan masalah kepada para guru di negara ini. Namun, menurut Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan masalah yang timbul hanyan kerana capaian internet yang lembab menyebabkan ia menjadi bebanan kepada guru. "Capaian internet memang menjadi masalah, kementerian masih berusaha untuk menaik taraf internet menjadi lebih pantas dan laju bagi melancarkan PBS ini," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi Kementerian Pendidikan.



Malah katanya, jika capaian internet dapat diatasi beliau percaya masalah dalam sistem PBS ini tidak akan timbul. Tambahnya, sistem PBS ini sudah diguna pakai di beberapa buah negara iaitu United Kingdom, Australia, Kanada dan Singapura. "Di negara kita ia baru satu permulaan, mungkin ada masalah dari segi capaian internet," katanya.



Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen daripada BN dan Pakatan Rakyat meminta kerajaan menilai semua program PBS ekoran mendapat rungutan daripada guru-guru. Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memperkenalkan program PBS tanpa menilai kelemahan sistem itu dahulu.



Malah beliau turut meminta kerajaan menyatakan model negara mana yang digunakan oleh Malaysia untuk melaksanakan sistem itu. "Idea siapa yang kita ambil untuk laksanakan PBS ini negara mana menjadi contoh," soal beliau. Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Idris Jauzi turut bangkit mempertikaikan sistem PBS yang diperkenalkan ini telah mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar-pelajar.


Begitu juga, pandangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali yang menegur kerajaan kerana tidak menyediakan prasarana yang sistematik sebelum melaksanakan PBS ini. "Banyak keluhan yang kita terima daripada guru-guru. Keluhan yang diterima terlalu berat. "Sepatutnya kerajaan menyediakan prasarana yang baik dahulu sebelum ianya dilaksanakan. Ini kerana guru yang berada di bandar pun tidak berjaya capai internet apatah lagi yang berada di luar bandar," katanya.


PBS merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan (berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.