photo astagfrallah7-1.gif

Tuesday, December 4, 2012

Kerajaan Tambah Baik PBS


Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik.
"Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer.
"Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.
Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.
Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
"Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan.
"Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.
Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju.
"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025.
"Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment