Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta golongan pendidik supaya bersabar serta memberi masa kepada Kementerian Pendidikan untuk menjalankan penambahbaikkan dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS). Setiausaha agungnya, Lok Yim Pheng berkata, pihaknya memahami bebanan yang dihadapi guru serta menggesa mereka bersabar dengan menunggu penambahbaikkan yang akan dijalankan oleh kementerian.
Sistem SPPBS bukan tidak baik 100 peratus kerana dasar sistem itu sudah bagus tetapi pelaksanaannya sahaja perlu diperbaiki. Apa yang tidak bagus adalah guru perlu mengurus pelbagai dokumen dan memasukkan data yang banyak sehingga membebankan tugas mereka untuk mengajar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Februari lalu memaklumkan Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula pelaksanaan PBS secara menyeluruh ekoran terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan sistem tersebut. Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, antara masalah itu adalah berhubung sambungan sistem capaian dan penggunaan alat merekodkan prestasi pencapaian yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
Yim Pheng berkata, dalam mesyuarat exco NUTP baru-baru ini, pihaknya sebulat suara menolak sistem PBS, tetapi akan memberi peluang kepada kementerian untuk memperbaiki sistem tersebut. Jika sistem tersebut masih sama, maka selepas ini kita akan menolak terus sistem tersebut. Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan memandang serius mengenai masalah skim gaji guru kanan berkelulusan ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang masih ketinggalan dengan guru baharu.
No comments:
Post a Comment