Kumpulan guru anti-Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menganggap pengumuman perlaksanaan sistem itu pada 1 April ini, setelah dibuat penambahbaikan, tindakan yang gopoh.
Menurut aktivis pendidikan Mohd Nor Izzat Mohd Johari, walaupun penambahbaikan dibuat, ia masih “gelojoh” kerana hanya diteliti semula dalam tempoh singkat.
"Dalam tempoh 43 hari sahaja KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) mampu mengubah sesebuah dasar dan terus mahu melaksanakan dasar yang telah ditambah baik tanpa kajian rintis dan semestinya tiada rangka dasar,” katanya.
Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) itu berkata, KPM patut melaksanakan kajian menyeluruh dan kajian rintis sekurang-kurangnya tiga tahun serta mengeluarkan dokumen bertulis sebelum melaksanakan sebarang dasar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sistem PBS baru akan dilaksana bermula 1 April.
Ia juga, menurut menteri pendidikan, akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus.
Antara ciri baru sistem baru itu, guru akan memasukkan data berdasarkan masa yang sesuai secara 'offline'.
No comments:
Post a Comment