photo astagfrallah7-1.gif

Tuesday, March 18, 2014

Guru Anti-PBS Tolak Penambahbaikan 43 Hari


Kumpulan guru anti-Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menganggap pengumuman perlaksanaan sistem itu pada 1 April ini, setelah dibuat penambahbaikan, tindakan yang gopoh.

Menurut aktivis pendidikan Mohd Nor Izzat Mohd Johari, walaupun penambahbaikan dibuat, ia masih “gelojoh” kerana hanya diteliti semula dalam tempoh singkat.

"Dalam tempoh 43 hari sahaja KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) mampu mengubah sesebuah dasar dan terus mahu melaksanakan dasar yang telah ditambah baik tanpa kajian rintis dan semestinya tiada rangka dasar,” katanya.

Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) itu berkata, KPM patut melaksanakan kajian menyeluruh dan kajian rintis sekurang-kurangnya tiga tahun serta mengeluarkan dokumen bertulis sebelum melaksanakan sebarang dasar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sistem PBS baru akan dilaksana bermula 1 April.

Ia juga, menurut menteri pendidikan, akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus.

Antara ciri baru sistem baru itu, guru akan memasukkan data berdasarkan masa yang sesuai secara 'offline'.

Penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru. 

PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata. 

Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.

Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya. Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.

Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS. Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.


Isu-isu pelaksanaan PBS

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.  

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.

Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.  

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).

Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

PBS masih diteruskan dengan tiga penambahbaikan mulai 1 April


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) masih diteruskan dengan tiga penambahbaikan berkuatkuasa 1 April. 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara pertama ialah kementerian itu menetapkan Dokumen Standard Prestasi (DSP) digantikan dengan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. 
Katanya, penggunaan DSP sebelum ini menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak. 

"Dengan panduan baru ini, guru akan mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. 

"Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk panduan baru ini," katanya pada sidang media khas mengenai penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi. 

Kedua, katanya, guru tidak lagi perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) secara atas talian seperti sebelum ini. 

Katanya, guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran secara offline. "Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan Tiga akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). 

"Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat bagi pelajar Tingkatan Tiga yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah," katanya. 

Sementara itu, guru tidak lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar golongan berkenaan. 

Katanya, perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru," katanya. 

PBS baru kurangkan beban guru hingga 80%

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru yang akan dilaksana bermula 1 April ini akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara ciri baru sistem baru itu, guru akan memasukkan data berdasarkan masa yang sesuai secara 'offline', kata Muhyiddin yang juga merupakan menteri pendidikan pada sidang media di Parlimen hari ini.

"Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan perubahan kedua PBS membabitkan penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang kini dipermudah menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Perubahan ketiga pada PBS pula adalah guru kini tidak perlu lagi menyediakan Fail perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit dan perkembangan prestasi murid boleh direkod guru berdasarkan kesesuaian masa mereka, kata Muhyiddin.

Sebelum ini, PBS telah ditangguhkan pelaksanaannya apabila guru-guru merungut ia menambah beban tugas perkeranian mereka dan sistem itu yang hanya boleh diakses secara dalam talian juga adalah kurang stabil.

PBS diperkenalkan pada 2011 dan memansuhkan peperiksaan tahunan yang selama ini dihadapi pelajar termasuk Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Bersepadu Sekolah Rendah.