photo astagfrallah7-1.gif

Sunday, April 24, 2011

PEPERIKSAAN VS PENTAKSIRAN

Kita seringkali mendengar ungkapan pendidikan yang terlalu memberi penekanan kepada peperiksaan atau exam oriented yang dikatakan kurang baik. Kita disarankan supaya lebih memberi tumpuan kepada pentaksiran yang holistik.

Apa itu peperiksaan dan apa itu pentaksiran. Apa pula yang dimaksudkan dengan penilaian? Apakah perbezaan antara istilah-istilah tersebut? Blog Kalam Abu Adib kali ini membicarakan konsep dan penggunaan ketiga-tiga istilah ini di samping istilah-istilah lain yang berkaitan seperti pengukuran, ujian, soal selidik, kuiz, menduga akal dan temu duga.

Mengikut pakar dan penulis buku yang terkenal dalam bidang berkenaan iaitu David Payne dalam bukunya Applied Educational Assessment Edisi Kedua tahun 2003, pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat. Daripada pengertian pentaksiran di atas, beliau menyarankan:

    Pentaksiran = Pengukuran + Penilaian

Untuk mendapatkan maklumat tentang pembelajaran murid, kita boleh mengguna proses pengukuran, penilaian atau pentaksiran. Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrumen sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah mentah, peratus markah mentah, persentil (peratusan kedudukan seseorang berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas boleh didapati sama ada dengan menggunakan instrumen atau pun tidak. Instrumen atau alat pengukuran pendidikan yang biasa digunakan ialah ujian, soal selidik (questionnaire), kuiz dan senarai semak (check list).

Tanpa instrumen, ukuran diperoleh dengan cara taksiran, anggaran, agakan, taakulan dan pemerhatian. Sebagai analogi, kita boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang berat seorang kanak-kanak Tahun Satu di Malaysia tanpa mengguna penimbang. Begitu juga seorang guru boleh mengetahui ukuran atau maklumat tentang sejauh mana muridnya menguasai apa yang dipelajari, tanpa menjalankan ujian, dengan cara di atas. Walau bagaimanapun, ukuran yang diperoleh tanpa mengguna instrumen tentunya kurang tepat dan kurang boleh dipercayai kerana seringkali berubah-ubah mengikut masa, mengikut orang yang mentaksir dan mengikut keadaan.

Penilaian ialah proses mendapatkan maklumat tentang sesuatu diikuti dengan proses memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat itu. Misalnya, pernyataan Ahmad mendapat markah 90% dalam ujian Matematik, oleh itu dia adalah seorang murid yang cemerlang dalam mata pelajaran itu merupakan penilaian atau interpretasi tentang ukuran atau maklumat. Tidak seperti pengukuran, maklumat yang diperoleh daripada penilaian boleh jadi berbentuk kuantitatif atau kualitatif. Maklumat kualitatif dalam penilaian adalah seperti Baik, Cemerlang, Menguasai tahap pencapaian minimum dan Boleh membaca dengan kefahaman yang tinggi. Perhatikan bahawa maklumat kualitatif dalam penilaian boleh jadi nilaian atau interpretasi kepada maklumat kuantitatif.

Proses penilaian berhenti setakat memberi nilai atau interpretasi tanpa membuat keputusan seperti layak memasuki aliran Sains. Apabila keputusan dibuat berdasarkan nilai atau interpretasi maklumat, proses yang berlaku daripada mengumpul maklumat sehingga membuat keputusan dipanggil pentaksiran. Dalam pendidikan, proses mengumpul maklumat, memberi nilai atau interpretasi kepada maklumat dan membuat keputusan boleh berlaku secara formal atau tidak formal. Ketiga-tiga proses di atas berlaku secara timbal balik dan sepadu antara satu sama lain dan sepadu dengan proses pengajaran-pembelajaran.

Pengertian istilah pentaksiran atau assessment yang berasal daripada perkataan Greek Assidere iaitu bermaksud Duduk di sisi seperti dinyatakan di atas sesuai dengan apa yang dilakukan oleh ibu bapa dalam mengajar Al-Quran dalam tradisi pendidikan orang Melayu. Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balik dan sepadu di mana sambil mengajar anaknya mengaji Quran, seorang ibu membuat pentaksiran secara tak formal kerana dia tahu adakah anaknya telah menguasai apa yang dipelajari atau belum dan dia tahu sama ada anaknya perlu mengulang balik atau meningkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Di samping itu, si ibu akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya semasa proses tersebut berjalan. Dalam hal ini si ibu tidak perlu pun mengadakan ujian atau peperiksaan yang formal tetapi dia tetap dikatakan mendidik menggunakan proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang sepadu.

Jika pentaksiran merupakan proses, peperiksaan pula merupakan salah satu kaedah, sistem atau mekanisma yang digunakan dalam proses pentaksiran. Sesuatu peperiksaan selalunya mengandungi beberapa siri ujian yang terancang untuk mendapatkan ukuran tentang sejauh mana proses pengajaran-pembelajaran berkesan. Ujian-ujian yang terdapat dalam sesuatu sistem peperiksaan boleh jadi ujian bertulis, ujian amali, ujian lisan, ujian pendengaran dan ujian berkomputer. Dengan ciri yang sedemikian, peperiksaan selalunya hanya sesuai diguna untuk mentaksir domain kognitif atau kebolehan mental seseorang. Dua domain yang lain iaitu afektif dan psikomotor kurang sesuai ditaksir menggunakan kaedah peperiksaan.

Oleh hal yang demikian, peperiksaan selalu dikatakan tidak lengkap kerana tidak memberi maklumat yang lebih holistik berkaitan dengan perkembangan dan peningkatan potensi individu seorang insan. Hal-hal seperti sahsiah, akhlak, nilai murni, budi pekerti, penampilan diri, kekuatan jasmani, rohani, emosi dan sosial sukar atau tidak mungkin dapat ditaksir sepenuhnya menggunakan peperiksaan.

Peperiksaan juga seringkali dikaitkan dengan pentaksiran standard, berpusat, luaran, sumatif dan dikendalikan oleh badan peperiksaan. Kekangan ini jugalah yang menyebabkan hal-hal yang sebutkan di atas sukar atau tidak dapat dilakukan dengan kaedah peperiksaan. Hal-hal tersebut lebih sesuai dilakukan melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran dalaman, pentaksiran formatif, pentaksiran alternatif, pentaksiran prestasi dan pentaksiran autentik.

Peperiksaan dikatakan menyebabkan anak-anak belajar dan guru-guru mengajar tidak seperti sepatutnya iaitu berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang dibekalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Murid-murid dikatakan belajar dan guru-guru mengajar tidak mengikut kurikulum tetapi mengikut peperiksaan. Hal ini diperhatikan daripada fenomena murid Tahun Enam sekolah rendah yang tidak lagi belajar seawal bulan Julai kerana murid-murid perlu diberi persediaan untuk menduduki peperiksaan UPSR. Mereka akan diberi latih tubi menjawab soalan peperiksaan dan dikehendaki menduduki peperiksaan percubaan lebih daripada sekali (ada yang sehingga empat kali).

Ibubapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen untuk memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Anak yang gagal mendapat A dalam mata pelajaran tertentu dikatakan gagal dalam pembelajarannya. Sekolah yang prestasinya dalam sesuatu peperiksaan merosot berbanding prestasi tahun sebelumnya, walau pun hanya 0.1%, merasa tertekan kerana prestasi guru dan pentadbir sekolah dianggap merosot.

Wajarkah tindakan di atas berlaku dalam sistem pendidikan kita? Jika kita menganggap tidak wajar, maka wajarkah pula kita memansuhkan peperiksaan berpusat seperti UPSR, PMR dan SPM serta mencadangkan pentaksiran berasaskan sekolah sahaja? Rata-rata peserta Seminar Sistem Pentaksiran Kebangsaan yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat pendidik, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik tidak bersetuju ketiga-tiga peperiksaan itu dimansuhkan. Mereka sepakat menyatakan bahawa peperiksaan perlu ada dan menganggap penekanan kepada peperiksaan (exam oriented) hanya merupakan persepsi masyarakat. Jika kita dapat memberi penekanan yang sama kepada pentaksiran dalam aspek ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan nilai-nilai murni melalui pentaksiran berasaskan sekolah, pentaksiran alternatif, pentaksiran autentik, pentaksiran prestasi, pentaksiran formatif dan pentaksiran untuk pembelajaran, dengan sendirinya persepsi tersebut dapat dicairkan.

TIDAK LAGI 100% PEPERIKSAAN

Sistem pendidikan negara bakal melalui transformasi penting tahun depan apabila tidak lagi bergantung 100 peratus kepada peperiksaan bagi menentukan gred pelajar.

Untuk itu, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan diperkenalkan yang memasukkan kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu.

SPPK akan menyebabkan penumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan.

“Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong sempena pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Tahap pencapaian pelajar buat masa ini diukur 100 peratus kepada prestasi mereka ketika menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dan awam.

Ka Siong pada sidang akhbar selepas itu berkata, SPPK akan meletakkan penekanan terhadap proses pembelajaran secara menyeluruh dan bukan setakat menjawab soalan peperiksaan sahaja.

Katanya, langkah itu menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kelihatan mengabaikan aspek-aspek lain yang sama penting.

Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, kementerian juga sedang menilai sama ada perlu mengadakan sehingga tiga peperiksaan awam.

Alimuddin ketika ditemui menambah, di bawah SPPK, pemberian markah untuk pelajar akan terdiri daripada empat punca iaitu:

- Psikometri (sikap atau sahsiah seseorang pelajar)
- Kokurikulum
- Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)
- Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan standard peperiksaan di semua sekolah).

Jelas beliau, melalui SSPK, penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.

Katanya, pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UPSR adalah berasaskan pentaksiran dan hanya 30 peratus melalui peperiksaan umum.

Bagi PMR pula, katanya, 50 peratus berdasarkan pentaksiran dan 50 peratus lagi dalam peperiksaan manakala untuk SPM, 30 peratus berdasarkan pentaksiran serta bakinya melalui peperiksaan.

“Untuk SPM kita menumpukan lebih sedikit pada peperiksaan kerana keputusan itu penting bagi penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Jelas beliau, projek perintis SSPK telah dilaksanakan melibatkan 50 sekolah pada tahun lalu dan 500 lagi pada tahun ini.

Katanya, maklum balas yang diterima termasuk daripada para guru adalah amat positif.

Beliau berkata, pengenalan SSPK tidak akan membebankan para guru kerana sebahagian pendekatan sistem itu sudah pun dimulakan.

“Sekarang ini pun dah buat, kita ada ujian mingguan, ujian bulanan dibuat oleh guru, tetapi semuanya hanya simpan di sekolah dan tidak dimasukkan dalam keputusan akhir peperiksaan.

“Macam itu juga dengan kokurikulum, sekarang pun ada pelajar jadi pengawas, main bola untuk sekolah, cuma tidak dimasukkan secara rasmi dalam penentuan gred peperiksaan awam pelajar,” katanya.

Jelasnya, sistem pentaksiran akan dimulakan dari tahun satu hingga enam untuk UPSR, tingkatan satu hingga tiga bagi PMR manakala tingkatan empat dan lima untuk SPM.

Katanya, kumpulan pertama pelajar yang akan dinilai UPSR mereka menggunakan kaedah SPPK ialah pada tahun 2016 iaitu apabila murid tahun satu 2011 menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.

Jelas Alimuddin, beliau yakin SPPK akan dapat mencapai objektifnya kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

SISTEM PENTAKSIRAN DI SELURUH DUNIA

1. Finland
  • Sepenuhnya pentaksiran berasaskan sekolah dibawah kawalan daerah.
2. New Zealand
  • Pentaksiran rendah dan menengah, rujukan standard, pemantauan pencapaian berasaskan sampel, tiada peperiksaan pusat sebelum umur 15 tahun.
3. United Kingdom
  • Sistem Key-Stage, tiada peperiksaan pusat sebelum umur 15 tahun.
4. Australia
  • Gabungan pentaksiran sekolah, rujukan standard dan pusat (NAPLAN).
5. Hong Kong
  • Pentaksiran berasaskan sekolah diambil kira dalam peperiksaan pusat.Pentaksiran berasaskan sekolah yang lebih luas pada tahun 2012.  

PENTAKSIRAN SEKOLAH

  1. Pentaksiran Sekolah adalah proses cari maklumat untuk membaiki pembelajaran atau menilai penguasaan murid.
  2. Proses Pentaksiran Sekolah melibatkan::
    • Pengumpulan maklumat prestasi murid bedasarkan penyataan kriteria yang jelas. (Standard Prestasi)
    • Pengurusan prestasi semasa dan dihujung proses P&P.
    • Pelaporan (verbal dan bertulis) prestasi,potensi dan keperluan murid.
  3. Bagi Pentaksiran Formatif dan Sumatif di atas, Guru dan murid merujuk set penyataan Standard Prestasi yang jelas.
  4. Pentaksiran dilakukan diperingkat sekolah seperti praktikal,tugasan bertulis,ujian kajian dan lain-lain.
  5. Evidens Pentaksiran Sekolah bentuk sumatif dikumpul dalam portfolio.
  6. Maklumat Pentaksiran Sekolah ini diguna untuk membaiki pembelajaran atau menilai penguasaan murid.
  7. Murid perlu tahu tentang apa yang dikehendaki dan apa yang penting dalam peringkat tertentu.
  8. Pentaksiran yang berkesan hasilkan murid yang berfikir.

Saturday, April 23, 2011

KSSR MENGURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global. 


KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan.


Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).


Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M. 


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup. 


Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai. 


Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan. 


Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. 



Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. 


Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. 


Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. 


Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. 


Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. 



Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa. 


Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. 


Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran. 


Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai. 


Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid. 


Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan. 


Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur. 


Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. 


“Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam. 


“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. 


Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. 


Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka. 


Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. 


“Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid. 


Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. 


Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. 


Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara. 

PENJAMINAN KUALITI PBS

1. PEMANTAUAN
  • Memastikan pelaksanaan pentaksiran mengikut prosedur.
2. PEMENTORAN
  • Membantu memudahcara dan membimbing pelaksanaan pentaksiran.
3. PENYELARASAN
  • Keseragaman pemberian skor berdasarkan standard prestasi.
4. PENGESANAN
  • Memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran.

TERMINOLOGI DALAM PBS

1. STANDARD:
  • Merujuk kepada tanda aras tertentu.
  • Gambaran holistik tentang pencapaian pelajar.
  • Penerangan generik atau umum tentang tahap pertumbuhan pembelajaran.
2. BAND:
  • Satu label menunjukkan tanda aras tertentu dan disusun secara hieraki.
  • Setiap band menunjukkan pertumbuhan pelajar.
  • Ia diguna untuk tujuan pelaporan.
3. DESKRIPTOR:
  • Apa yang murid tahu dan boleh buat.
  • Kualiti yang boleh ditaksir dan dicapai.
  • Adalah berdasarkan tahun-tahun tertentu.
  • Merujuk Dokumen Standard Kurikulum tahun berkenaan.
4. EVIDENS:
  • Bagaimana murid menunjukkan apa yang dia tahu dan boleh buat.
  • Kualiti yang boleh dilaksanakan dan boleh ditadbir.
  • Bahan atau apa-apa bentuk bukti yang dapat ditunjukkan oleh murid yang melaksanakan sesuatu tugasan.
5. INSTRUMEN:
  • Alat yang digunakan untuk menguji penguasaan pencapaian murid bagi sesuatu domain.
  • Contoh: ujian bertulis, ujian lisan, ujian amali, demonstrasi dan kuiz.

PERANAN PENTAKSIRAN SEKOLAH

  • Meningkatkan pencapaian pelajar.
  • Meningkatkan keyakinan kepada murid untuk belajar.
  • Memperbaiki kelemahan dan masalah murid dalam pembelajaran.
  • Mengubahsuai strategi pengajaran dan pembelajaran.

RUJUKAN STANDARD

PENTAKSIRAN RUJUKAN STANDARD:

  • Tiada had kepada peratusan murid untuk mencapai sesuatu standard.
  • Taburan markah atau gred tidak ditetapkan.
  • Pelaporan adalah serasi dengan kehendak pendidikan.
  • Kriteria tidak menunjukkan pertumbuhan.
  • Markah atau gred kurang bermakna kerana tidak memberi interpretasi apa yang murid tahu dan boleh buat.
  • kedudukan atau ranking dalam suatu ujian tidak memberi maklumat selanjutnya tentang pencapaian murid dalam pembelajaran.

RUJUKAN PENTAKSIRAN

1. RUJUKAN NORMA
  • Memberi kedudukan kepada murid.
  • membandingkan seorang murid dengan murid yang lain.
2. RUJUKAN KRITERIA
  • Melaporkan pencapaian murid berdasarkan kriteria yang dihasratkan melalui pengajaran dan pembelajaran
3. RUJUKAN STANDARD
  • Menghuraikan gambaran keseluruhan tentang pertumbuhan pembelajaran murid (tahap pencapaian) berdasarkan pernyataan-pernyataan standard.


Sunday, April 3, 2011

FAIL-FAIL PBS KSSR

  1. FAIL INDUK
  • JAWATANKUASA PBS
  • MINIT MESYUARAT
  • PEKELILING
  • LAPORAN PBS

     2.  FAIL MATA PELAJARAN
  • STANDARD PRESTASI MATA PELAJARAN
  • REKOD STANDARD PRESTASI
  • INSTRUMEN-INSTRUMEN UJIAN

     3.  FAIL MURID
  • BIODATA MURID
  • INSTRUMEN-INSTRUMEN UJIAN
  • REKOD PERTUMBUHAN MURID

     4.  FAIL PAMERAN
  • HASIL KERJA MURID YANG TERBAIK
  • DIPAMERKAN KEPADA PELAWAT & IBUBAPA
          

Saturday, April 2, 2011

STANDARD PRESTASI BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH

  • BAND 1: TAHU
=> Mengetahui asas mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

  • BAND 2: TAHU DAN FAHAM
=> Mengatahui dan memahami perkara yang didengar, disebut, dibaca dan ditulis.

  • BAND 3: TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT
=> Mengetahui, memahami dan memberi respons terhadap perkara yang didengar, disebut, dibaca dan ditulis.

  • BAND 4: TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB
=> Mengetahui, memahami dan memberi respons dengan beradab terhadap perkara yang didengar, disebut, dibaca dan ditulis.

  • BAND 5: TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB TERPUJI
=> Mengetahui, memahami dan memberi respons dengan sopan pada situasi yang betul terhadap perkara yang didengar, disebut, dibaca dan ditulis.

  • BAND 6: TAHU, FAHAM DAN BOLEH BUAT DENGAN BERADAB MITHALI
=> Mengetahui, memahami dan memberi respons pada situasi yang betul dengan berhemah tinggi terhadap perkara yang didengar, disebut, dibaca dan ditulis.

Friday, April 1, 2011

PEMBAHAGIAN BAND MENGIKUT KEMAHIRAN BAHASA ARAB

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR :

  • BAND 1: Mendengar Bunyi
  • BAND 2: Mendengar Bunyi Huruf Hijaiyyah
  • BAND 3: Menyebut Perkataan 
  • BAND 4: Menyebut Ungkapan
  • BAND 5: Mendengar dan Menyebut Ayat 
  • BAND 6: Menggunakan Ayat

KEMAHIRAN MEMBACA :

  • BAND 1: Membaca Huruf yang Berbaris
  • BAND 2: Membaca Mengikut Harakat (Panjang / Pendek)
  • BAND 3: Membaca dengan Makhraj Huruf yang Betul.
  • BAND 4: Membaca Ungkapan
  • BAND 5: Membaca Ayat
  • BAND 6: Membaca Ungkapan dan Ayat serta Memahaminya.

KEMAHIRAN MENULIS :

  • BAND 1: Memegang Pencil dengan Betul
  • BAND 2: Menulis Huruf Hijaiyyah
  • BAND 3: Menulis Perkataan
  • BAND 4: Menulis Ungkapan
  • BAND 5: Menulis Ayat
  • BAND 6: Menulis Ayat yang Didengar (Imlak).

CIRI-CIRI STANDARD PRESTASI

  • Setiap band menunjukkan pertumbuhan murid dalam pembelajaran.
  • Standard yang boleh ditaksir dan dicapai.
  • Penerangan generik tentang tahap pertumbuhan murid.
  • Pertumbuhan secara menegak dan mengufuk.
  • Mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  • Murid menunjukkan apa yang mereka tahu.

KEBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

  • Mendidik guru berintegriti.
  • Mudah merujuk pencapaian murid.
  • Memberi makna kepada gred pelajar.
  • Menunjukkan pertumbuhan murid dalam pnp.
  • Taburan markah / gred tidak ditetapkan.
  • Tidak membanding bezakan murid dengan gred.
  • Tiada had peratusan murid untuk mencapai standard.
  • Ia dilaksanakan sepanjang tahun sewaktu pnp dijalankan.
  • Pentaksiran menyeluruh jasmani, emosi, rohani dan intelek.

CABARAN KEJAYAAN PBS

  • Integriti guru diragui dan ibubapa tidak percayakan guru.
  • Kesediaan dan kemahiran guru dalam melaksanakannya.
  • Guru rasa terbeban dengan tugasan tambahan.
  • Kemudahan disekolah kurang untuk melaksanakannya.

MENGAPA PERLU BERUBAH KEPADA PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH?

  • Kerana ingin berubah daripada assesment of learning kepada assesment for learning.
  • Menjadikan pendidikan negara tidak hanya berasaskan peperiksaan.
  • Supaya dapat melihat prestasi murid secara menyeluruh jasmani, emosi, rohani dan intelek. 
  • Bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  • Ia juga dapat meningkatkan martabat perguruan dan mengintegriti guru-guru.
  • Sama dengan negara-negara maju yang melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.